SHALAT DAN KETENANGAN JIWA

Drs.Harun Hj.Sarail.
 

Gangguan kejiwaan dalam istilah psikologi disebut sebagai neurosis dan psikosis. Neurosis dialami oleh hampir semua orang manakalah psikosis pula adalah penderitaan jiwa yang sering disebut sebagai gila.

Neurosis adalah sebahagian daripada kepribadian individu dan Ia tidak menganggu, iaitu masih ada hubungan dengan realiti dan boleh memahami tingkahlakunya sendiri. Bagaimanapun psikosis sudah menjadi satu kepribadian dan kesedarannya santgat terbatas sehingga membahayakan orang lain, malah mereka yang mengalaminya sudah tidak dapat memahami tingkahlakunya sendiri.

Ciri-ciri mereka yang mengalami neurosis ialah ketegangan batin, mudah putus asa, murung, gelisah, cemas, rasa lemah, takut, sering berfikiran buruk, tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar dan tingkahlaku aneh. Tidak dinafikan kecenderungan manusia melupakan Tuhan ketika merasa cukup selesa dengan nikmat kebendaan, memperlihatkan bahawa pengaruh duniawi sering mengalahkan pengaruh ukhrawi. Dalam Surah Al-Alaq ayat 6 -7, "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampui batas, ketika dia melihat dirinya serba cukup.."

Sebenarnya agama berfungsi dalam menyembuhkan gangguan kejiwaan, Ini diakui oleh ramai pemikir Barat bahawa krisis manusia sekarang berlaku kerana keperluan manusia kepada agama dan nilai-nilai rohani. Seorang ahli sejarah Barat, Arnold Toynbee berkata krisis yang dialami oleh orang Eropah pada zaman moden ini pada dasarnya disebabkan oleh kemiskinan rohani dan terapi yang sesuai bagi mereka ialah kembali kepada agama.

Jesteru, bagi umat Islam Solat adalah terapi terbaik untuk mengubati penyakit jiwa. Ini selaras dengan tujuan solat itu supaya manusia selalu mengingat Allah. Solat adalah doa iaitu memohon kepada Allah. Ia sangat penting dalam hidup manusia kerana doa adalah idaman hati nurani untuk memperoleh kesejahteraan dan kebahagiaan serta keredhaan Allah bagi dirinya, keluarga dan masyarakat.

Solat berfungsi sebagai pembekal tenaga rohani yang menimbulkan perasaan tenang dalam diri seseorang. Selaras dengan itu Ia akan memperolehi jiwa yang damai dan kalbu yang tenteram. Ketika menunaikan solat, kita melupakan semua persoalan dan masalah kehidupan sehingga mewujudkan ketenangan. Dalam konsep sufisme pula solat melambangkan pemurnian kejiwaan.

Dr.Muhammad Iqbal dalam bukunya The Reconstruction of Religious Thought in Islam menganggap solat adalah keperluan yang tidak boleh ditawar-tawar. Manusia dalam kedaan apapun tetap memerlukan Tuhan, sesuai dengan fitrah manusia. Oleh itu pendapat yang mengatakan solat adalah sebagai pelarian bagi pesakit jiwa tidak boleh dipersetujui. Pendapat itu dipandang sebagai gejala psikologi kerana solat adalah satu penyucian rohani dan boleh boleh menimbulkan ketenangan batin, baik secara sendiri atau berjemaah..

Keadaan yang tenteram dan jiwa yang tenang dihasilkan melalui solat mempunyai kesan yang penting dalam meredakan ketegangan saraf kerana pelbagai tekanan kehidupan seharian. Biasanya mereka yang selesai solat berasa lebih tenang. Kesan penting solat dalam menyembuhkan kegelisahan itu sama dengan kesan yang ditimbulkan melalui kaedah psikoterapi yang digunakan pakar perubatan dalam menyembuhkan kegelisahan.

Dalam doa pula seseorang bermuwajjah dengan Tuhannya dan menuturkan kepadaNya segala keluhan dan masalah yang dihadapi seterusnya memohon pertolongan daripada Allah. Keadaan jiwa yang tenang membuat seseorang itu terlepas daripada segala kegelisahan dan akhirnya masalah itu hilang secara bertahap. Ini sama dengan rawatan secara psikologi apabila kegelisahan akan berkurang ketika segala masalah diceritakan kepada orang lain.

Di samping solat bersendirian, solat berjemaah juga mempunyai kesan terapeutik iaitu Ia memberi kesempatan baginya untuk berkenalan dengan jiran dan orang lain yang tinggal berdekatan. Hal ini boleh membantu dari segi hubungan sosial yang sehat dan menjalin persahabatan antara mereka, di samping menghindarkan perasaan terasing dalam masyarakat, sekaligus membantu mengembangkan kepribadian seseorang dan kematangan emosional. Semua itu boleh menjadi pelindung kepada kegelisahan yang dideritai sebagahian orang kerana perasaan terpencil.

Dalam solat Jumaat, khutbah sangat penting kerana Ia banyak membincangkan masalah sosial, sekaligus mengemukakan bentuk penyembuhan yang akan mewujudkan ketenangan dan ketenteraman. Jiwa. Komitmen seseorang terhadap agamanya akan meningkatkan kemampuannya dalam menghadapi pelbagai masalah kehidupan kerana khutbah itu dapat meningkatkan wawasan seseorang mengenai dirinya dan masalahnya.

Sayangnya khutbah Jumaat pada masa ini lebih banyak membicarakan masalah sosial yang dihadapi puluhan tahun lalu dan hanya membaca konsep yang tidak berpijak di bumi nyata sesuai dengan realiti pada hari ini.

Amalan zikir selepas solat juga mempunyai pengaruh terhadap kejiwaan. Satu kajian pernah dilakukan terhadap sekumpulan orang yang mengamalkan zikir dengan denyutan nadinya dikira sebelum dan selepas berzikir. Hasil kajian itu mendapati kiraan denyutan nadi selepas berzikir lebih rendah berbanding sebelum berzikir. Ini menunjukkan jiwa seseorang itu lebih tenang selepas berzikir.

Setiap pergerakan dalam solat juga mempunyai kekuatan spiritual, begitu juga dalam bacaan solat. Ia memiliki irama pada setiap bunyi huruf yang turut mempengaruhi jiwa orang yang solat. Seorang pakar psikologi, Alexis Carrell pernah berkata solat boleh menyembuhkan manusia secara cepat pada waktu mereka beribadat termasuk ketika menunaikan haji.

 

*** Artikel ini telah disiarkan dalam BERITA MINGGU pada 27.10.1996 dalam kolom Suara Islam.