ISLAM : WAHYU DAN AKAL

Harun Hj.Sarail
 

Islam bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Al-Quran diturunkan 15 abad yang lalu mengandungi peringatan dan koreksi diri yang dalam dan kuat luar biasa serta memiliki sifat-sifat yang dinamik singkat tapi amat kuat. Peringkat awal adalah tahap tingkat kesedaran manusia dalam kenyataan eksistensinya di tengah masyarakat yang selanjutnya mengatur hubungan individu dan masyarakat serta Tuhan.

    Al-Quran adalah kitab Tuhan yang diturunkan kepada nabi Muhammad yang direalisasikan dalam praktik kehidupannya. Al-Quran adalah firman Tuhan yang diturunkan ke dalam hati Muhammad yang diucapkannya dan dipraktekkannya sepanjang hidupnya. Al-quran adalah wahyu. Islam adalah agama wahyu. Al-Quran identik dengan Islam. Kitab Tuhan itu mutlak benar. Apapun yang diungkapkannya adalah sumber kejayaan umat manusia. Gagal mematuhi kitab Tuhan akan membawa kehancuran dan kerusakkan kepada siapapun. Kitab Tuhan menapis kitab-kitab lain yang membawa kepalsuan. "Tuhan menghapuskan kepalsuan dan memusnahkan kepalsuan dan membenarkan kebenaran dengan kalimahNya." (42:24). Apapun teori, apapun gagasan, dari manapun dan siapapun yang mengutarakannya tetap punya nilai relatif, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh membaca kitab lain.

        Pengalaman nabi ketika menerima wahyu yang pertama, ketika Ia menyatu dalam kesedaran yang paling dalam disertai dengan gejala-gejala fizik pernah diklaim oleh para orientalis maupun sejarahwan modern bahawa nabi Muhammad menderita penyakit "gila babi".Ternyata pernyataan tersebut hanyalah tuduhan belaka yang sengaja dibuat untuk menghancurkan keotentikkan al-Quran kerana pengalaman tersebut terjadi setelah beliau berumur 40 tahun yang tidak pernah berlaku sebelum karier kenabiannnya. Hadis menceritakan pengalaman seperti ini berlaku pada waktu penerimaan wahyu dan tidak pernah terjadi secara terpisah, lalu kenapa penyakit ini tidak diketahui oleh penduduk Mekah atau Madinah waktu itu. Namun keotentikan al-Quran terjaga dan cabaran Tuhan untuk memusnahkannya tidak pernah berjaya. Ia tetap unggul.

        Quran menceritakan tentang kisah kejatuhan kaum atau bangsa dan tamaddun dalam zaman purba seperti Firaun, Aad, Tsamud, Midian, Yunani dan Romawi, begitu juga dengan tamaddun Islam yang pertama, kerana pengabaian terbesar ialah pengabaian terhadap al-Quran. Umat Islam telah mengamalkan politik puak-puak dan faksionalisme, faham kesukuan sehingga terjadi perebutan kuasa di antara tokoh-tokoh pemimpin. Quran melarang kezaliman, cara hidup mewah dan membazir tetapi malah ini yang dilakukan.

        Gerakan kebangkitan semula Islam dengan slogan kembali kepada kitab Allah adalah satu-satunya jalan kejayaan. Jalan lain adalah jalan kegagalan. Orang Barat menganggap masyarakat Islam sejak abad ke 13H/19M adalah satu masyarakat yang mati yang menerima pukulan-pukulan dari pengaruh Barat. Tetapi gerakan modern telah berusaha membangun kembali umat Islam yang antara lain diketuai oleh Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Muhammad Rasyid Ridha, Muhammad Ali B. Abdul Wahab, Sayid Ahmad Khan, Muhammad Iqbal, Muhammad Ali dan banyak lagi.

        Sayid Ahmad Khan pernah berkata, "Jika masyarakat kita tidak menghentikan pemahaman agama secara membuta, apabila mereka tidak mencari cahaya yang ada di dalam al-Quran dan al-Hadis yang tidak diperselisihkan lagi kebenarannya dan tidak menyesuaikan agama dengan ilmu pengetahuan masa kini maka Islam akan lenyap."

        Panduan pertama ialah al-Quran. As-Syahid Sayid Qutb pernah mengatakan, "generasi pertama adalah generasi terbaik, generasi Quranik sementara Hadis adalah photostate daripada al-Quran." Sementara tokoh-tokoh modernis yang menyerukan supaya umat Islam kembali kepada kitab Allah, tokoh-tokoh Barat pula mengkhuatirkan keadaan ini. Gladstone, bekas Perdana Menteri Inggeris berkata,"Selagi al-Quran berada di tangan kaum muslimin maka selama itulah penjajahan Eropah tak dapat menguasai dunia Timur." Misioneris Takley berkata, "Kita mesti menggunakan al-Quran. Al-Quran merupakan senjata yang ampuh untuk melawan Islam. Kita mesti erangkan kepada kaum muslimin bahawa kebenaran dalam al-Quran bukanlah benda baru dan yang baru di sini bukanlah kebenaran."

        Panduan kita yang kedua ialah al-Hadis yang dinyatakan sebagai tingkat kedua setelah al-Quran.Al-Hadis sering mendampingkan rasulullah dengan Allah bila berbicara tentang otoriti yang memerintahkan kaum beriman supaya beriman kepada Allah dan RasulNya. "Tidak demi Tuhanmu mereka tidak akan dikatakan beriman, sehingga mereka berhakim kepadamu dalam perselisihan mereka dan tidak keberatan dalam hati mereka mengenai keputusan yang engkau berikan tetapi tunduk kepadanya dengan sepenuh hati."An-Nisa':46. Selanjutnya dengan hujah-hujah naqli maupun aqli para pemikir Islam dari dulu hingga sekarang telah sepakat menerima Hadis sebagai sumber norma dalam al-Quran.

        Memang ada sebagaian pemikir Islam yang terpengaruh dengan cara pemikir Barat yang bersikap skeptis terhadap Hadis sebagai status hukum, antaranya mereka berpendapat bahawa selama nabi hidup, beliau hanya meninggalkan al-Quran sebagai pedoman atau putusan-putusan keagamaan dan melarang ucapan-ucapannya dicatat kerana khuatir akan bercampur dengan al-Quran. Mereka juga mendakwa bahawa periode selepas nabi timbulnya hadis-hadis palsu yang dibuat oleh kaum munafik dan hadis yang sengaja diada-adakan untuk menguatkan faham, aliran atau sekte tiap golongan konsekwensinya kesukaran untuk mencari hadis yang benar-benar berasal dari nabi. Begitu juga tidak adanya jaminan dari yang mutlak, dari Allah untuk menjaganya daripada penyelewengan seperti penjagaan al-Quran, adalah suatu kemungkinan yang tipis untuk mengklaim sedemikian banyak materi hadis betul-betul dari nabi.

        Hadis muncul secara besar-besaran pada abad ke 2H/8M dan dikumpul secara sistematik menjadi kumpulan yang lengkap dengan matan dan sanad sekitar 200 tahun setelah kewafatan nabi. Paling depan di antara kitab shahih oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari (194-256H/310-870M), Muslim Ibnu al-Hajjaj (Wafat 261H/875M), Abu Daud (Wafat 275H/888M), Tirdmidzi (Wafat 279H/892M), An-Nasai' (Wafat 303H/916M) dan Ibnu Majah ( Wafat 273H/886M). Ahli-ahli sejarah sependapat bahawa kemunculan hadis pertama tanpa dukungan sanad tetapi setelah disempurnakan dalam ilmu Hadis iaitu kritik terhadap sanad.

        Seorang sahabat, Abu Dzar dikatakan telah meriwayatkan bahawa nabi pernah mengatakan , "Barangsiapa yang mengatakan , Tidak ada Tuhan Selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, Ia akan masuk syurga. Kemudian sahabat bertanya apakah pintu syurga akan dibuka bagi orang seperti itu walaupun Ia berzina dan mencuri, nabi mengiyakan. (H.R.Muslim dan Buhkari). Hadis ni dikritik oleh beberapa orang ilmuwan, misalnya Fazlur Rahman seorang professor Islamic Studies di Chicago University, asal Pakistan, Ia meragukan hadis ini berasal dari nabi, kerana al-Quran secara tegas menyatukan antara "AMAL SALEH" dan "IMAN". Secara history hadis ini dibuat untuk menolak doktrin Khawarij bahawa seseorang yang berbuat dosa besar adalah kafir yang akhirnya diterima sebagai esensi Islam.

        Menolak semua hadis memang merupakan satu faham yang ekstrim dan tidak berpijak di atas alasan ilmiah mahupun sejarah, tetapi menerima sepenuhnya juga sangat berbahaya baik ditinjau secara ilmiah mahupun fakta sejarah dan memang perlu suatu pembuktian bahawa suatu hadis itu betul-betul berasal dari nabi dan tidak bertentangan dengan al-Quran.

        Dalam shalat nabi adalah satu figur yang berdiri di tengah-tengah umat Islam pada masa itu, dalam kesepakatan, konsensus atau ijmak umat yang disaksikan secara kongkrit adalah satu yang logik praktek shalat yang diajarkan hadis berasal dari nabi meskipun tidak terperinci dalam al-Quran. Sebelumnya hadis memang wujud di tengah-tengah kaum muslimin, meskipun tidak tersusun secara sistematik, samada melalui khutbah yang formal mahupun perjumpaan-perjumpaan kecil yang informal. Tidak ada keraguan lagi kita harus berpegang teguh dengan Quran sebagai kitab Tuhan yang primer dan hadis sebagai inteprestasi yang sekunder.

        Quran bukanlah kitab misterius dan sulit digahami sehingga memerlukan berbagai-bagai syarat. Seandainya demikian Quran tidak akan bisa berbicara kepada umat secara meluas. Memang ada beberapa masalah yang memerlukan kita berkonsultasi langsung dengan seorang ahli. Ini berada di daerah kemampuan kita. Ada juga di kalangan umat Islam yang melarang penafsiran al-quran dengan akal padahal Islam menghargai akal dan meletakkannya pada posisi yang tinggi. Quran juga bukanlah dalil-dalil mati. Perintah Tuhan yang pertama kepada umat Muhammad ialah supaya membaca dan mengkaji, tapi sayang berapa ramai di antara kita yang mahu mengikuti perintahnya.

        Budaya tutup mulut dari semasa ke semasa semakin melembaga dalam masyarakat Islam. Perasaan takut yang sering menghantui fikiran menyebabkan kurangnya pembedahan-pembedahan terhadap masalah-masalah baru. Sensitif terhadap pemikiran-pemikiran baru dan menganggap tabu pemikiran lama menjadikan umat Islam statik dalam berfikir dengan tercanangnya ; "penutupan pintu ijtihad" dan berjangkitnya "Roh Taklid".

        Dewasa ini banyak usaha yang dilakukan oleh orang-orang tertentu untuk memonopoli agama dan menjadikannya beku, sekaligus berusaha mempertahankan semangat taklidisme dan fanatisme terhadap fikiran-fikiran lama yang menjadikan manusia jumud, beku dan terkebelakang, kerana tidak menghormati akal manusia sehingga sanggup menekan pendapat orang lain demi mempertahankan kepentingannya. Usaha mereka ini telah melahirkan masyarakat Islam yang merasa rendah diri dan tidak yakin terhadap kemampuan yang ada dalam membelah cakrawala ilmu pengetahuan.

        Pendewaan kepada tok guru, pemimpin, tokoh-tokoh masyarakat atau para wali sekalipun hanya menjadikan seseorang itu tidak lagi kritis selain hanya bersikap menolak pendapat orang lain yang bercanggah dengan pendapatnya dan anutannya. Padahal untuk berfikir objektif kita harus menjaga daripada sikap suka menolak apa yang nampaknya kita tidak setuju juga sebaliknya.

        Abad matinya dinamika berfikir di mana manusia beragama secara taklid buta, percaya kepada sesuatu pernyataan kerana percaya kepada orang yang memberikannya. Pemikiran manusia bagaimanapun, di manapun, kini atau kemarin tetap punya nilai relatif. Bolah jadi pemikiran mereka sesuai untuk hari ini tapi tidak akan datang. Penafsiran apapun terhadap Islam tetap punyai nilai subjektif di samping nilai objektif. Oleh itu kita harus memberi kepada apapun bentuk pemikiran, pendapat atau wawasan betapapun aneh kedengarannya tidak jarang ternyata ianya benar di kemudian hari. Apalagi pada zaman ini para intelektual harus menilai kembali warisan Islam tradisional dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin maju.

        Islam menganjurkan kita untuk mempelajari nilai-nilai universal dari manapun sumbernya, Timur atau Barat, dengan anjuran atau saranan yang digalakkan oleh Islam tidaklah beerti Islam itu kurang malah Ia menjadi lengkap dengan adanya motivasi tersebut. H Endang Saifussin Anshari pernah mengatakan, "Nilai-nilai Islam itu berdemensi kemarin, kini dan masa depan. Melepaskan diri dari nilai-nilai tradisional yang negatif dan mencari nilai-nilai yang berorientasikan kepada masa depan iaitu nilai Islam itu sendiri.

        Untuk membina asas satu tamaddun Islam yang baru kita perlu menghidupkan semula, membangun, memperluas dan memperdalam gerakan intelektual sebagai asas kepada kebangkitan semula Islam dengan menghormati akal manusiadisamping memerintahkan bersikap kritis dan terbuka atas segala sesuatu serta menggalakkan daya inisiatif, mewajibkan menuntut ilmu melarang taklid buta.

        Abad ke-14 di Eropah adalah abad penguasaan gereja dan berlakunya beberapa tragedi penekanan akal dan pemikiran yang bertentangan dengan cita rasa pihak gereja. Tragedi dahsyat inilah yang telah menemukan diri orang-orang Eropah yang menurut para pendita dan kalangan gereja itulah yang menjadikan sumber kesengsaraan kerana mereka telah mengabaikan unsur-unsur progresif dan mempopulerkan penuhanan manusia sehingga bekunya kebebasan dan kemerdekaan. Tetapi di abad ke-15 dan 16 mereka bangkit secara besar-besaran setelah lama berpijak di atas tradisi dan di abad ke-17, 18 dan 19 telah memunculkan kelas intelektual yang bebas dan sedar, yang berfikir, menyelidik, menganalisa, mengevaluasi semua ruang secara kreatif, kritis, selektif dan cermat yang sekaligus membidani tamaddun dunia abad ke-20. Abad gereja agama tidak serasi dengan pemikiran atau akal, tetapi Islam tetap menjunjung penggunaan akal.

        Berfikir adalah proses mencari kebenaran. Sebagai manusia apalagi pelajar yang selalu bergaul dengan fikiran dan kedisiplinan ilmu wajarlah untuk kita mempertanyakan dan menyelidiki sesuatu perkara akan kebenarannya. Di abad ini kta perlu melahirkan intelektual-intelektuan, para ahli fikir yang mampu membimbing umat Islam. Alangkah prihatinnya kalau kita selalu mengulangi pengalaman orang lain yang tentunya tidak seiring dengan zaman dan situasi budaya kita. Oleh itu kita harus menjadikan diri kita siap pakai, harus berani berfikir sendiri dan berfikir merdeka.

        Berfikir merdeka tidak semestinya menolak segala sesuatu yang datang dari orang lain . Kita tidak menolak adanya integrasi generasi tua dan generasi muda. Bersikap anarki menolak segala sesuatu yanpa selektif dan penelitian, jelas itu tidak rasional. Gagasan intelektual setidaknya membebaskan diri kita dari sikap ketergantungan, budaya tutup mulut kepada sikap percaya diri. Umat Islam harus mengadakan satu revolusi berfikir untuk mengintreprestasikan dan formulasi tentang Islam dengan bahasa abad ilmu pengetahuan dan teknologi dan bersedia menerima nilai atau norma-norma dari manapun sepanjang ianya bersesuaian dengan Al-Islam itu sendiri. Tugas kita untuk membersihkan agama Islam dari segala macam bid'ah dan khurafat yang telah melembaga dan berkembang dalam tubuh umat Islam kepada kemurnian yang asal seperti yang pernah diajarkan nabi. Muhammad SAW.

"Sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mahu mendengarkan Qaul; pendapat atau idea; kemudian Ia mengikuti mana yang lebih baik di antaranya, merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk dan pimpinan darui Allah dan mereka jugalah orang-orang yang mempunyai akal fikiran yang jernih." (Az-Zumar: 17-18).

        Dalam banyak hal yang diperselisihkan, umat Islam lebih suka kembali kepada pendapat ulama daripada merujuk kepada sumber al-Islam itu sendiri… "Apabila kamu bertentangan dalam satu-satu perkara, maka kembalikanlah kepada Allah dan RasulNya."(An-Nisa:59), Sikap menelan bulat-bulat tanpa mengunyah dan merasakan sikap yang menghilangkan daya kreativiti dan inisiatif.

        Tidak ada ruginya kalau kita sama-sama berusaha untuk mendakwahkan al-Islam di manapun. Kalau mungkin secara organisasi, kalaupun tidak secara persendirian. "Katakanlah olehmu (Wahai Muhammad): Cuma satu wasiatKu kepadamu iaitu: Bangkitlah berdiri membela agama Allah, kalau mungkin berdua (bersama orang lain yang mahu diajak serta) apabila tidak mungkin; Tandanglah ke arena sentana sebatang kara. Dan selanjutnya janganlah putus-putus kamu BERFIKIR." (As-Saba: 46). "Ingatlah ketika Rasul akan berkata: "Tuhanku, umatku telah membelakangkan Al-Quran. Umatku telah menjadikan al-Quran sesuatu yang tidak diperdulikan ." (Al-Furqaan: 25).

 

2 April 1986

Diedit kembali pada 6 Jun 1998

Harun Hj.Sarail

harsa@tm.net.my